BERUAS – Seorang penternak lembu kerugian kira-kira RM160,000 selepas 40 ekor ternakannya mati secara tiba-tiba di kawasan Sungai Rotan, Trong, dekat Batu Hampar, Beruas, petang semalam.
Penternak tersebut, S Thangaraj, 36, berkata, kejadian disedari oleh pekerjanya kira-kira pukul 5.30 petang semalam sebelum menghubunginya di Manjung.
“Pekerja memberitahu lembu tiba-tiba tumbang dan terus mati di satu kawasan yang terletak beberapa kilometer dari kandang.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati terdapat satu bekas minuman berupa tong drum mengandungi air disyaki terdapat racun di dalamnya,” dakwanya ketika ditemui pemberita di Sungai Rotan hari ini.
Menurut Thangaraj yang menternak kira-kira 160 ekor lembu di situ, kebiasaannya haiwan itu dikeluarkan dari kandang pada pukul 9 pagi dan diberi makan sebelum lembu-lembu itu tidur.
Kemudian pada pukul 2 petang haiwan itu merayau mencari makanan di kawasan sekitar sehingga pulang ke kandang pada pukul 6.30 petang. – K! ONLINE