fbpx

Dokumen Pulau Batu Puteh tidak boleh didedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Batu Puteh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia supaya dokumen-dokumen dan bahan dalam kes saman berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh tidak didedahkan kepada pihak yang tidak berkenaan.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan pemohonan perintah perlindungan yang difailkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pada 29 November tahun lalu.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia berkata mahkamah kemudian menetapkan 1 Mac ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Hari ini adalah pendengaran permohonan itu secara dalam talian yang turut disertai SFC Shamsul Bolhassan.

Sementara itu, peguam Mohaji Selamat yang mewakili Mohd. Hatta Sanuri selaku plaintif dalam saman itu ketika dihubungi turut mengesahkan perkara tersebut.

Berdasarkan notis permohonan, defendan-defendan memohon perintah bahawa semua material dan dokumen yang dikemukakan sebagai eksibit dalam sebarang permohonan interlokutari dan perbicaraan kes saman itu (dokumen-dokumen sulit) hanya boleh didedahkan kepada pihak-pihak dalam kes tersebut, peguam yang mewakili plaintif dan defendan, saksi-saksi perbicaraan serta pihak-pihak yang difikirkan perlu oleh mahkamah.

Mereka juga memohon perintah bahawa pihak-pihak yang diberi akses kepada dokumen-dokumen sulit hendaklah pada setiap masa menjaga kesulitan dan kerahsiaan dokumen sulit berkenaan termasuklah tidak mendedahkan kepada mana-mana pihak selain daripada mereka yang dibenarkan oleh mahkamah.

Turut dipohon, satu perintah untuk memastikan dokumen sulit tidak dikategorikan sebagai umum dan tidak boleh dibuka untuk pemeriksaan atau apa-apa salinan dalam apa jua bentuk termasuk pemeriksaan dalam talian secara e-filing selain memohon prosiding dan perbicaraan kes saman itu dijalankan secara tertutup.

Permohonan tersebut dibuat atas alasan antaranya dokumen dan maklumat yang akan didedahkan dalam kes saman itu adalah berstatus dokumen berperingkat dan bertaraf rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei tahun lalu, Mohd Hatta, 46, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd. Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Mohd. Hatta turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI