IPOH – Seorang lelaki warga Myanmar yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan bersama rakannya di kawasan sungai dekat Kampung Tawas di sini semalam, ditemukan lemas hari ini.
Mangsa ditemukan pada pukul 10.20 pagi oleh pasukan bomba kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Azman Husin berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.01 tengah malam.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat di permukaan air sekitar sungai tersebut segera dijalankan oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Dalam operasi itu, kita juga menggunakan dron bagi membuat pemantauan dari udara dalam usaha mengesan kedudukan mangsa yang dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya dijumpai dalam keadaan terapung pada jarak dua kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat. Mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE