fbpx

Artis terjun dunia politik tak salah – Zizan Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAWAK Zizan Razak tidak mempunyai hasrat terlibat dalam dunia politik buat masa sekarang.

PETALING JAYA – Menghormati keputusan segelintir rakan artis yang terjun dalam dunia politik, pelakon dan pelawak, Zizan Razak bagaimanapun tidak pernah terfikir ke arah sama.

Zizan atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abdul Razak berkata, bukan bermaksud dirinya beranggapan politik sebagai satu cabang kerjaya yang penuh dengan kekotoran namun dirinya sebagai orang popular, dia mempunyai cara tersendiri untuk membantu rakyat.

“Buat masa ini, saya tak pernah terfikir ke arah tersebut (politik). Bukan saya kata politik tak bagus tapi mungkin saya ada matlamat dan cara saya sendiri.

“Kawan-kawan saya macam Datuk Hans Isaac dan Datuk Afdlin Shauki, mereka mempunyai minat dan apa yang ingin diperjuangkan. Bagi saya, tak salah (anak seni masuk dunia politik). Golongan artis ada kekuatan tersendiri. Kita diangkat lebih daripada orang lain dari segi populariti,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Ujar Zizan, 38, sebagai seorang anak seni, dirinya sedar diri dan lebih selesa berkongsi perkara selain berbentuk politik dan menyalurkan bantuan mengikut kemampuan sendiri.

“Saya suka tunjukkan tentang bisnes, suka kongsi benda-benda yang saya rasa perlu saya kongsi macam ilmu agama dan sebagainya ataupun yang berkaitan tentang kerjaya sebagai anak seni.

“Kawan-kawan lain memilih ke arah politik, mungkin mereka mempunyai matlamat dan misi mereka sendiri. Saya rasa itu hak masing-masing sebab negara kita sebuah negara demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, Zizan yang cukup dikenali menerusi filem Abang Long Fadil menafikan, perjumpaannya dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini adalah bersifat politik.

Jelas Zizan, perjumpaan tersebut hanya membincangkan tentang situasi semasa dan hala tuju industri seni tanah air.

“Beliau (Annuar Musa) bertanya tentang keseluruhan industri. Dari segi kerja, waktu kerja, bayaran artis dan saya kongsi juga tentang wartawan dan semua benda untuk industri.

“Apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dalam industri. Tentang royalti, kita tahu, royalti banyak memihak kepada penyanyi sahaja, tidak buat pelakon.

“Contohnya, kita berlakon dan filem ditayangkan di pawagam, bayaran hanya terhenti di situ sahaja. Kalau filem kita berlakon tayang di Astro atau stesen TV lain misalnya, kita (pelakon) tak dapat apa-apa.

“Saya persoalan tentang itu dengan beliau dan alhamdulillah, didengari dan beliau nak tahu lebih mendalam lagi tentang kepedihan dan kesakitan yang kita orang industri sedang alami,” ujarnya.

Ditanya sama ada dirinya mempunyai hasrat untuk mengepalai mana-mana persatuan seni tanah air, Zizan berkata, dirinya tidak langsung mempunyai niat ke arah tersebut.

“Saya tak layak. Saya suarakan dan kongsi sahaja kalau ada peluang. Bukan bermakna saya lari daripada tanggungjawab sebagai seorang anak seni.

“Untuk industri kita berkembang pesat, semua orang perlu berani suarakan pendapat. Kalau ada artis kita punya potensi ke peringkat antarabangsa macam Hairul Azreen, kita salurkan sokongan,” katanya.

Terdahulu, melihatkan musibah banjir besar melanda di beberapa negeri baru-baru ini, Zizan terdetik hati untuk membeli kereta pacuan empat roda.

Zizan berkata, tujuan dirinya membeli sebuah kereta Toyota Hilux adalah untuk digunakan bagi membantu lebih ramai orang yang berdepan kesusahan pada masa akan datang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI