PERKEMBANGAN bola sepak tanah air dilihat semakin menarik sejak kebelakangan ini apabila beberapa pemain Malaysia mendapat tawaran bermain di luar negara.
Peluang beraksi di luar negara bukan perkara baharu buat pemain-pemain Malaysia memandangkan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, 38, pernah berkelana ke Eropah menyertai kelab Racing Strasbourg di Perancis pada 1999.
Selain Akmal, turut mendapat tawaran adalah pemain sensasi Johor Darul Ta’zim, Nazmi Faiz Mansor, 26, yang menyertai kelab Portugal, S.C. Beira-Mar seawal usia 18 tahun pada 2013.
Begitu juga bintang tengah Gergasi Merah, Wan Zack Haikal Wan Noor, 29, yang pernah beraksi bersama kelab Jepun, FC Ryukyu pada tahun 2013.
Itu sekadar beberapa nama pemain Malaysia berbakat yang memperoleh peluang beraksi di luar negara.
Maka, tidak hairan pada hari ini pencari bakat di dalam mahupun luar negara mula memberi perhatian kepada pemain-pemain muda tempatan di peringkat akar umbi.
Antara pemain berkelana ke luar negara ketika ini adalah penyerang skuad Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha yang beraksi buat BG Pathum United F.C. pada saingan Liga 1 Thailand; Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama- J2 League) serta Dominic Tan (Police Tero – Liga 1 Thailand).
Selain itu, pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh akan menyertai Dominic ke pasukan Police Tero musim ini, manakala penyerang sensasi JDT, Safawi Rasid bakal berhijrah ke kelab Liga Premier Portugal, Portimonense SC sebaik musim Liga Malaysia tamat.
Paling menjadi fenomena adalah bintang meningkat naik, Luqman Hakim Shamsudin, 18, yang menyertai kelab KV Kortrijk di Belgium.
Pada penulis, penghijrahan pemain-pemain tempatan ke luar negara membuktikan mereka mempunyai kualiti teknikal untuk bersaing di peringkat tertinggi termasuk kemampuan menggegarkan pentas Eropah.
Ia merupakan perkembangan yang bagus bagi sukan bola sepak Malaysia dan berharap lebih ramai akan mendapat peluang kerana ia akan memberikan manfaat besar buat skuad kebangsaan.
Beraksi dalam saingan yang lebih kompetitif dan ditawarkan kontrak oleh kelab luar negara dilihat mampu menjadi aspirasi kepada pemain bola sepak profesional.
Seharusnya, pemain-pemain Malaysia perlu memasang impian untuk membangunkan karier dan berkelana ke luar negara bagi mendapatkan peluang beraksi dengan manamana kelab di Eropah.
Bagi penulis, sama ada mereka mendapat peluang beraksi pada liga yang terkenal atau kurang dikenali, pemain muda perlu berusaha dan mencuba.
Malanglah sekiranya pemain-pemain muda Malaysia hanya berpuas hati untuk beraksi pada saingan liga tempatan.
Bukan tidak menghormati prestij liga tempatan, sebaliknya bermain di luar negara akan membolehkan pemain dapat pendedahan dan pengalaman berguna yang boleh dikongsikan bersama apabila dipanggil pulang menggalas cabaran bersama skuad Harimau Malaya pada masa depan.