PETALING JAYA – Taman Tema Genting Skyworlds yang sebelum ini tertangguh pembukaannya sejak beberapa tahun lalu termasuk impak daripada pandemik Covid-19, kini membuka pintu masuknya kepada umum bermula 8 Februari ini.
Sempena pembukaan pra pelancaran taman tema yang bernilai kira-kira RM3.34 bilion itu, Genting Skyworlds menawarkan jualan harga tiket dengan diskaun sebanyak 20 peratus di laman web syarikat dari 8 Februari hingga 31 Mac ini.
Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi Genting Malaysia Berhad., Lee Thiam Kit berkata, harga tiket bagi dewasa selepas diskaun adalah RM151 berbanding harga penuh RM189 seorang.
Bagi harga tiket warga emas dan kanak-kanak dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110cm serta orang kelainan upaya ditawarkan harga diskaun RM128 seorang berbanding harga penuh RM161 seorang manakala kanak-kanak di bawah ketinggian 90 cm adalah percuma.
“Kami sudah bersedia menunjukkan taman tema kami kepada dunia, tarikan bertema baharu ini bakal melonjakkan nama Pahang dan Malaysia di persada pelancongan dunia.
“Pembukaan taman tema ini akan turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
Thiam Kit menjelaskan, selepas membeli tiket secara dalam talian, para pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
“Buat pertama kalinya di Asia Tenggara, aplikasi ini juga telah diintegrasikan dengan teknologi Virtual Queue (VQ), satu ciri pintar yang mampu mengurangkan masa menunggu yang lama dalam barisan fizikal selain memberikan kebebasan kepada pengunjung untuk melakukan aktiviti pilihan mereka dan pada masa yang sesuai,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Operasi Taman Tema, Resort World Genting, Greg Pearn menerangkan, terdapat sesetengah tarikan masih di bawah proses pentauliahan dan tidak tersedia untuk menerima para pengunjung tetapi pihaknya sedang bekerja keras untuk memastikan setiap tarikan dibuka dalam masa terdekat.
“Usaha membuka sebuah taman tema di masa pandemik ini adalah sesuatu yang amat mencabar, walaupun segala usaha telah dilakukan untuk memastikan setiap tarikan dapat dibuka, masih terdapat sebahagian kecil tarikan yang memerlukan masa yang lebih lama untuk disiapkan,” ujarnya.
Taman Tema Genting SkyWorlds yang berkeluasan 10.4 hektar itu bakal membawa para pengunjung mengembara ke sembilan ‘dunia’ yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia.
Antara ‘dunia’ unik itu Eagle Mountain, Central Park, Liberty Lane, Robots Rivet Town, Andromeda Base, Ice Age, Studio Plaza, Epic dan Rio.