MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengeluarkan sebanyak 176 saman bernilai RM37,800 dalam tempoh tiga jam melakukan operasi di Jalan Syed Abdul Aziz, berhampiran pusat beli-belah Mahkota Parade, di sini, malam tadi.
Pengarah JPJ negeri, Mohamad Firdaus Shariff berkata, operasi yang dijalankan sehingga pukul 12 tengah malam itu dilakukan sempena penguatkuasaaan bagi sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Katanya, antara kesalahan tertinggi dikesan adalah membabitkan cukai jalan tamat tempoh dan pemandu serta penunggang tiada lesen.
“Sepanjang operasi ini, kita telah memeriksa 750 buah kenderaan dan mengeluarkan sebanyak 176 saman bernilai RM37,800.
“Antara kesalahan dilakukan adalah cukai jalan tamat tempoh (114), tiada lesen (47), cermin gelap (45), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (18) dan dua kesalahan teknikal pengubahsuaian enjin,” ketika ditemui pada operasi itu, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sepasang lelaki berusia 20-an turut ditahan selepas dikesan memandu kereta kekasihnya tanpa lesen dengan alasan penglihatan wanita itu silau.
“Dia memberikan alasan hanya cuba membantu memandu kereta tersebut untuk menghantar teman wanitanya pulang ke rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan jenis Proton Saga itu juga mendapati ia menggunakan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai penguatkuasaan sepanjang Tahun Baharu Cina, Mohamad Firdaus memberitahu pihaknya turut menjalankan pemeriksaan membabitkan pengangkutan awam di Terminal Bas Melaka Sentral.- K! ONLINE