KEMAMAN – Seorang pemajak telur penyu menjumpai seekor lagi bangkai penyu di pesisir Pantai Kijal di sini hari ini.
Bangkai penyu agar jantan dewasa itu ditemui terdampar di pantai berkenaan pada pukul 8.15 pagi.
Penemuan terbaharu tersebut menjadikan sebanyak 14 ekor penyu telah ditemui mati di seluruh pesisir pantai Terengganu sepanjang bulan ini.
Pemajak telur penyu terbabit, Roslan Mohamad, 54, berkata, beliau terserempak dengan bangkai penyu jantan dewasa itu sewaktu melakukan pemeriksaan di pantai berkenaan.
“Keadaan bangkai penyu itu amat memilukan dan saya percaya punca kematiannya akibat terkena pukat.
“Tambah menyedihkan saya, ini penyu kedua ditemui mati di kawasan pendaratan penyu di bawah seliaan saya dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Roslan berkata, penemuan bangkai penyu dewasa tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan bagi tindakan lanjut.
Kosmo! hari ini melaporkan sekumpulan pemajak telur penyu sebak apabila menjumpai bangkai seekor anak penyu agar di Pantai Kijal di sini. – K! ONLINE