SEJAK beberapa minggu kebelakangan ini, dunia sukan negara digegarkan dengan beberapa isu terutama melibatkan kegagalan skuad Harimau Malaya, peletakkan jawatan jurulatih dan pelantikan baharu selain keputusan yang mengejut dibuat oleh pemain perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia.
Bagaimanapun, isu Zii Jia seakan sudah reda dan menemui kata noktah apabila dia kembali dibenarkan untuk beraksi biarpun sebelum ini digantung selama dua tahun oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pada ruangan kali ini, penulis lebih berminat untuk memberikan fokus terhadap skuad bola sepak negara apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan melantik pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai supremo baharu Harimau Malaya.
Selepas pelbagai pendapat kita dengar mengenai pelantikan individu yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe, akhirnya FAM bersetuju bahawa sentuhan jurulatih daripada luar negara mungkin mampu memberi nafas baharu.
Biarpun sebelum Cheng Hoe, Harimau Malaya pernah dibimbing oleh Nelo Vingada dari Portugal dengan prestasi yang tidak ada apa boleh dibanggakan tetapi tidak salah untuk kita mencuba sekali lagi ‘air tangan’ jurulatih import.
Kita mengagumi kemampuan FAM apabila tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari kebolehan dan mendapatkan khidmat Pan-gon bagi mengisi kekosongan jawatan jurulatih skuad negara.
Pelantikan kali ini sangat penting kerana Harimau Malaya berdepan dua misi penting tahun ini, kelayakan Piala Asia 2023 dan Piala AFF Suzuki 2022 yang bakal menjadi penanda aras tahap bola sepak negara.
Cuma, apabila mengenangkan kenyataan yang dibuat oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang tidak mahu peminat meletakkan harapan tinggi kepada pelantikan Pan-gon, ia menjadi sedikit gusar.
Besarlah harapan bahawa pelantikan Pan-gon adalah berdasarkan merit dan kemampuan yang dimiliki untuk memberikan perubahan kepada prestasi pasukan kebangsaan sekurang-kurang mampu memberikan aksi menarik serta saingan yang membanggakan.
Justeru, Pan-gon perlu diberikan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang lebih tinggi daripada mana-mana jurulatih tempatan dalam misi membentuk skuad yang diinginkannya.
Sebagai peminat, kehadiran Pan-gon disambut tanpa prejudis kerana membuat jangkaan awal tanpa memberi peluang empunya badan membuktikan kemampuan adalah sesuatu yang tidak adil.
Namun, untuk peluang yang buat kesekian kalinya diberikan oleh peminat yang mahu melihat Harimau Malaya berjaya, FAM tolonglah berusaha untuk membantu merealisasikan impian berkenaan.
Jangan lagi ada tangan-tangan ghaib yang nantinya mengganggu tugas Pan-gon sama ada dari aspek pemilihan pemain atau apa-apa pun jua.
Tak perlulah sampai peminat turun ke jalan raya memegang sepanduk dan membangsatkan FAM kerana ia hanya membuang masa dan tenaga, malah imej badan induk bola sepak negara itu akan terus kotor biarpun sudah beberapa kali tercemar sebelum ini.