PETALING JAYA – Orang ramai mengambil kesempatan cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina minggu ini dengan melancong ke beberapa negeri popular seperti Pulau Pinang, Perak, Kedah, Terengganu dan Johor.
Kelmarin lebuh raya utama di Lebuh Raya Utara-Selatan di kedua-dua arah sesak teruk dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak turut perlahan sehingga 20 kilometer.
Warga kota dikatakan meninggalkan Kuala Lumpur untuk keluar bercuti ke negeri-negeri lain.
Di Pulau Pinang, kawasan tumpuan pelancong seperti pusat bandar raya George Town dan pantai peranginan di Batu Ferringhi meriah dengan kehadiran pelancong tempatan.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Jalan Penang di pusat bandar mendapati pengunjung beratur panjang di beberapa kedai makan popular seperti nasi kandar, cendol, air sarbat dan jeruk.
Bagaimanapun jumlah pelancong dilihat tidak semeriah berbanding musim cuti persekolahan sebelum ini.
Seorang pelancong dari Shah Alam, Selangor, Nurul Ayumi Mohammad, 30-an berkata, dia mengelak mengunjungi tempat tumpuan ramai kerana masih bimbang dengan penularan Covid-19.
“Kami hanya akan melawat ke tempat-tempat tidak ramai orang dan terbuka memandangkan membawa ramai budak walaupun anak-anak mahu melawat Bukit Bendera,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, tempahan hotel di kawasan pantai dan pusat bandar pada musim cuti Tahun Baharu Cina setakat ini tidak penuh dan hanya mencapai lebih 70 peratus.
Menurutnya, angka tersebut berkurang berbanding musim cuti persekolahan pada Disember tahun lalu apabila tempahan bilik mencecah 90 peratus.
Di Mersing, Johor, pemilik Idaman Permai Resort, Abdul Halim Rahmat berkata, chaletnya menerima tempahan sejak Disember tahun lalu lagi untuk pengunjung yang mahu bercuti sempena cuti perayaan itu.
Katanya, kini chaletnya telah penuh sehingga 4 Februari ini di mana rata-rata yang hadir adalah terdiri daripada mereka yang datang berkumpulan.
“Alhamdulillah, tempahan untuk raya Cina semua penuh bermula 29 Januari sehingga 4 Februari ini. Pengunjung kita yang paling jauh datang dari Negeri Sembilan dan juga Kuala Lumpur,” jelasnya.
Di Perak pula, jalan-jalan di bandar ini mula sibuk dengan kenderaan sejak dua hari lalu berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman selain kedatangan pengunjung luar bercuti.
Sementara itu Terengganu, aliran trafik sibuk di Lebuh Raya Pantai Timur 2 sejak Sabtu lalu telah memeriahkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka di sini.
Seorang peniaga, Wan Norasyidah Wan Nasir, 23, berkata, kehadiran pelanggan mengunjungi R&R Paka sangat memberangsangkan sejak Jumaat.
Di bandar raya Alor Setar, Kedah mula dipenuhi kenderaan dan tempat menjadi tumpuan adalah Kompleks Pekan Rabu.
Rata-rata peniaga gembira perniagaan mula pulih dan pengunjung pula mengambil kesempatan bercuti di bandar itu.
Seorang peniaga di Pekan Rabu, Wan Zanjabila Wan Fariduddin, 39, berkata, dia bersyukur perniagaan yang diusahakan 10 tahun lalu mula pulih sejak dengan adanya pelancong setiap kali cuti sekolah.