fbpx

Polis Johor kenal pasti 45 kawasan ‘blackspot’ kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman menyampaikan cenderahati kepada pemandu kenderaan pada Majlis Pelancaran Op Selamat Kontinjen Johor Sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor akan memberi tumpuan terhadap 45 kawasan ‘blackspot’ berlaku kemalangan di seluruh negeri ini sepanjang Op Selamat 17 diadakan sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, langkah itu merupakan tindakan pencegahan dalam usaha mengelak kemalangan berlaku semasa tempoh musim perayaan itu.

Menurut beliau, selain meminimumkan kadar kemalangan jalan raya, fokus kedua adalah pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang tempoh Op Selamat dari 28 Januari hingga 6 Februari.

“Mengikut statistik, kita mengesan sebanyak 45 blackspot di negeri ini. Kita akan menggunakan pendekatan berteraskan konsep penguatkuasaan penuh, melakukan rondaan, langkah pendekatan serra kempen keselamatan bagi mengurangkan kadar kemalangan.

“Tumpuan diberikan kepada kesalahan-kesalahan yang menjurus ke arah kemalangan jalan raya seperti memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

“Bagi memastikan objektif tersebut dicapai, seramai 240 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan digerakkan melakukan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Op Selamat Sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pengguna jalan raya dinasihati supaya mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan dan segera mendapatkan bantuan agensi-agensi berkaitan terutama di kawasan lebuh raya jika berlaku sebarang kecemasan.

Katanya, pengguna lebuh raya diingatkan tidak membaiki sendiri kenderaan rosak di lorong kecemasan, sebaliknya segera mendapatkan bantuan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau Plus Malaysia Berhad (PLUS). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI