fbpx

SWCorp banteras 120 lokasi pembuangan sampah haram di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa SWCorp melihat salah satu tempat pembuangan sampah haram di Negeri Sembilan.

SEREMBAN – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan membanteras sebanyak 120 tempat pembuangan sampah haram dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Mohd. Zahir Shari berkata, sebanyak 40 daripada 120 lokasi pembuangan sampah haram tersebut dikesan di  Seremban, manakala sebanyak 37 lokasi lagi di Nilai.

“Terdapat 13 lokasi dibanteras di Port Dickson diikuti Rembau sebanyak 10 lokasi. Daerah Tampin dan Kuala Pilah sebannyak lapan lokasi diikuti Jempol sebanyak tiga lokasi dan Jelebu satu lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zahir berkata, secara keseluruhan anggota penguat kuasa SWCorp Negeri Sembilan telah menjalankan 199 operasi penguatkuasaan tempat pembuangan sampah haram sepanjang tahun 2021.

Menurut beliau, hasil pelaksanaan Operasi Intip dan Cekup, sebanyak 12 kes pembuangan sampah haram telah didakwa di mahkamah dengan nilai denda berjumlah RM172,000.

“Sebanyak 12 kes masih dalam siasatan, manakala dua kes dalam proses pendakwaan di mahkamah. Kesemua kes ini diharap menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak membuang sampah di lokasi tidak dibenarkan,” kata beliau.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan daripada semasa ke semasa bagi mengesan dan menangkap pihak yang melakukan pembuangan sampah haram.

“Tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan yang tegas oleh SWCorp penting dalam usaha memastikan kegiatan pembuangan sampah haram yang menyebabkan kacau ganggu dan pencemaran dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Komitmen SWCorp dalam menguatkuasakan Akta 672 adalah demi memastikan agenda Dasar Kebersihan Negara dapat dijayakan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI