PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia terutamanya komuniti yang berisiko diminta untuk bersama-sama mencegah diskriminasi terhadap pesakit kusta dan ahli keluarga mereka.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penyakit kusta bukan penyakit keturunan atau sumpahan, tetapi ia adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh sembuh melalui pemberian rawatan Multidrug Therapy.
“Penyakit kusta adalah penyakit kuno yang direkod seawal 1,500 tahun sebelum masihi serta tidak mudah dijangkiti, tetapi jika dijangkiti dan lewat dikesan serta tidak diberi rawatan boleh menyebabkan kecacatan kekal kepada pesakit.
“Untuk rekod, kadar kecacatan kekal dilaporkan dalam kalangan pesakit kusta adalah sekitar 0.02 hingga 0.05 kes bagi setiap 100,000 penduduk iaitu bersamaan empat peratus hingga lapan peratus dari keseluruhan kes kusta baharu yang dilaporkan setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Kusta Sedunia 2022 hari ini bertemakan Penyakit Kusta: Bersama Mencegah Diskriminasi.
Khairy Jamaluddin berkata, kecacatan kekal itu mengundang banyak masalah sosial ke atas pesakit dan keluarganya selain menjejaskan kualiti hidup dengan menjadikan pesakit tidak berupaya menguruskan diri sendiri, lantas bergantung harap belas ehsan dan bantuan ahli keluarga dan jiran tetangga.
“Pada setiap tahun, dunia menyambut Hari Kusta Sedunia diperkenalkan sejak 1954 oleh seorang aktivis bernama Raoul Follereau dengan tujuan memperjuangkan hak kesamarataan pesakit kusta dan memberi kesedaran kepada masyarakat melalui pembasmian persepsi kuno mengenai penyakit ini. Perjuangan beliau diteruskan sehingga ke hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan berusaha untuk mengenal pasti tahap keseriusan dan faktor diskriminasi melalui kajian sistematik dan pemantauan yang berkesan. – K! ONLINE