PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa video satu sidang akhbar oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung pemberian dos penggalak Covid-19 yang tular ketika ini merupakan petikan video lama.
Kementerian itu berkata, video tular itu merupakan petikan dari sidang akhbar Khairy Jamaluddin sewaktu meninjau perkhidmatan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 20 September tahun lalu.
“Pada waktu itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos pertama dan dos kedua masih giat dilaksanakan malah kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah 79.6 peratus, masih belum mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa.
“Aktiviti rentas negeri juga masih belum dibenarkan ketika itu manakala aktiviti keluar masuk negara juga masih dikawal ketat,” katanya menerusi satu kemas kini di laman Facebook kementerian itu hari ini.
Jelas KKM, pemberian dos penggalak (booster) secara menyeluruh belum lagi bermula pada September 2021 dan ia dilaksanakan secara berperingkat dengan keutamaan ketika itu kepada golongan rentan iaitu warga emas, mereka yang ada komorbid dan golongan terdedah risiko jangkitan.
“Hanya setelah majoriti golongan tersebut menerima booster, barulah vaksinasi booster dibuka kepada populasi awam yang layak.
“Pemberian booster ini diperlukan berdasarkan perkembangan semasa pemantauan keberkesanan vaksin serta cabaran yang dihadapi dengan kemunculan varian-varian baharu virus Covid-19,” jelasnya.
Tambah KKM, banyak negara yang tawarkan dos penggalak kepada populasi dewasa mereka seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia dan Singapura.
Terdahulu, tular di laman media sosial satu petikan video memaparkan Khairy Jamaluddin pada satu sidang akhbar mengumumkan bahawa dos penggalak hanya diberikan kepada golongan berusia 60 tahun dan ke atas, mereka yang mempunyai komorbid dan yang berisiko mendapat jangkitan. – K! ONLINE