JAKARTA – Sebanyak lima anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) terkorban, manakala empat lagi cedera dalam beberapa insiden tembakan dengan kumpulan pengganas bersenjata di wilayah Papua dan Papua Barat sejak November 2021 hingga kini.
Menurut laporan stesen penyiaran CNN Indonesia semalam, tempoh masa itu adalah sejak Panglima TNI, Jeneral Andika Perkasa memulakan tugas secara rasmi beliau pada 18 November 2021.
Selepas dilantik oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi), Andika berikrar akan menilai semula pendekatan ketenteraan yang selama ini diguna pakai bagi menangani konflik di wilayah tersebut.
“Saya akan menilai semula, melakukan perubahan mengenai operasi TNI, bukan sekadar di Papua, bahkan di seluruh wilayah di Indonesia,” katanya.
Bagaimanapun, menurut rekod CNN Indonesia, sekurang-kurangya lapan insiden tembak-menembak berlaku di wilayah tersebut termasuk melibatkan serangan ke atas pos kawalan tentera atau balai polis selepas Andika menegaskan ikrar tersebut.
Contohnya pada 20 November tahun lalu, seorang askar TNI maut ditembak kumpulan pengganas bersenjata di daerah Yahukimo selain seorang lagi cedera.
Insiden tembakan terjadi lagi dua bulan selepas itu di daerah Maybrat melibatkan seorang askar yang sedang bersiap sedia untuk membaiki jambatan di sebuah kampung.
Terbaharu, tiga lagi anggota TNI gugur manakala seorang cedera parah dalam kejadian tembak-menembak di daerah Puncak pada Khamis lepas.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi (waktu tempatan) itu, kumpulan pemberontak Papua menyerang pos kawalan tentera secara tiba-tiba hingga mengorbankan tiga anggota yang bertugas. – AGENSI