GEORGE TOWN – Penyanyi legenda Pulau Pinang, Datuk David Arumugam kembali menghiburkan para peminatnya sambil mempromosi pelancongan Pulau Pinang menerusi album komplikasi baharu, The Story Pearl of the Orient yang dilancarkan hari ini.
Album tersebut yang diterbitkan oleh Persatuan Anak Seni Pulau Pinang (PASPP) merupakan kompilasi album yang membariskan 11 anak seni kelahiran Pulau Mutiara termasuk David.
Menurut Pengerusi Kehormat PASPP, Mohd. Mazlan Ayob, album tersebut merupakan album pertama diterbitkan oleh PASPP dan ia diharapkan dapat membantu mempromosi Pulau Pinang di mata para pelancong dalam dan luar negara.
“Projek ini bermula hampir dua tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kami menghimpunkan anak-anak seni Pulau Pinang termasuk David untuk bekerjasama dalam projek ini.
“Kami berharap lagu Pearl Of The Orient yang dicipta khas untuk mempromosi Pulau Pinang dapat memperkenalkan negeri ini kepada para pelancong dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran album kompilasi The Story Pearl of the Orient di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini hari ini.
Sebanyak 12 lagu baharu didendangkan oleh 11 artis kelahiran Pulau Pinang menerusi album ini dan mereka terdiri daripada David Arumugam, Boy, Aswad AF, Fazlin, Bob Sentuhan, Gee, Jasmin, Faradik, Epol Penang, Kolin, Kamal CRK dan SAM. – K! ONLINE