Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama tekong dan empat awak-awak nelayan warga Myanmar kira-kira 10 batu nautika dari Pantai Tumpat semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, tangkapan itu dilakukan pada pukul 9.03 malam selepas menerima maklumat komuniti maritim tempatan.
Menurutnya, semasa tangkapan dijalankan bot terbabit sedang menjalankan aktiviti menunda di zon larangan bagi bot kelas C selain kesalahan melanggar syarat lesen menangkap ikan.
“Mengikut peraturan yang dikeluarkan, bot kelas C bagi perairan Kelantan hanya boleh menangkap ikan pada jarak 12 batu nautika ke atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Asmawie berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut didaftarkan di negeri Pahang dan kesemua nelayan yang ditahan berusia di antara 29 hingga 41 tahun itu memiliki dokumen yang sah.
Tambahnya, hasil tangkapan yang dirampas dianggarkan sebanyak 500 kilogram bernilai RM2,500.
“Bot bersama tekong dan empat awak-awak dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali dekat sini untuk diasatan lanjut.
”Kita juga akan mempertingkatkan pemeriksaan terhadap bot nelayan tempatan dalam usaha untuk mengesan tonto di laut selain mencegah kemungkinan berlakunya pelbagai kegiatan penyeludupan yang menggunakan menggunakan bot nelayan tempatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985. – K! ONLINE