PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad membuatkan ramai tidak keruan apabila tampil tidak berbaju dalam satu perkongsian foto Instagram.
Bagaimanapun, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah komen yang ditinggalkan teman istimewanya yang juga seorang pelakon dan penyanyi popular, Azira Shafinaz.
Kapsyen yang disertakan Sharnaaz atau nama lengkapnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 37, pada foto berbunyi ‘Okay fine, I’ll meet you half life’ (Baiklah, jumpa awak separuh nyawaku) dibalas Azira yang sepertinya membetulkan struktur ayat pelakon itu.
“Are you sure half life, not half year? (Adakah anda pasti separuh nyawa, bukan setengah tahun?),” tulis Azira juga merupakan anggota kumpulan DeFam.
Disebabkan komen yang ditinggalkan Azira, ramai dalam kalangan peminat yang mengusik Sharnaaz kerana dirinya seperti ‘malu-malu kucing’ untuk membalas pertanyaan yang ditinggalkan figura jelita itu.
“Apa mamu tak balas. Sharnaaz punya ‘other half’ (kekasih) ke Azira ini?
“Awat tak balas aduh. Tak jantanlah begini,” demikian antara komen-komen nakal yang ditinggalkan netizen merujuk kepada interaksi romantis melibatkan dua pelakon itu.
Dalam pada itu, ramai juga dalam kalangan netizen meninggalkan komen-komen berbaur usikan lain yang tidak kurang mencuit hati.
“Sharnaaz, siapa buat love bite (gigitan cinta) itu?” soal seorang netizen.
Sharnaaz yang cukup dikenali menerusi drama rantaian Suamiku Encik Sotong itu kemudian membalas pertanyaan tersebut secara berseloroh: “Itu bekas kena sedut dulu dengan siput babi.”
Disebabkan foto tidak berbaju yang menampakkan susuk tubuh sasanya, ramai peminat turut mengusik Sharnaaz seakan-akan mengadakan sesi fotografi majalah Mangga yang terkenal dengan foto-foto ‘belanja’ suatu ketika dahulu.
“Berenang menyihatkan kesihatan. #Mangga,” tulis seorang peminat. – K! ONLINE