KUALA PILAH- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membekukan cuti semua anggota penguat kuasanya bermula 25 Januari lalu sehingga 8 Februari depan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, arahan tersebut melibatkan kira-kira 2,500 anggota JPJ di seluruh negara.
“Ia termasuk seramai 118 anggota penguatkuasa di Negeri Sembilan. Arahan sudah diberikan supaya semua anggota penguatkuasaan untuk tidak mengambil cuti,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pelancaran Op Tahun Baharu Cina di Dataran Melang di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Aedy Fadly, pihaknya menjangkakan berlaku pertambahan kenderaan sehingga 100 peratus susulan pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung pada cuti Tahun Baharu Cina ini.
“Pada cuti perayaan ini, kami menjangkakan pertambahan disebabkan tahun lalu negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jangkaan pertambahan dijangka lebih daripada 100 peratus bagi pengguna jalan raya pada tahun ini terutama pengguna yang mahu pulang ke kampung halaman,” katanya. -K! ONLINE