KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menyediakan lebih 450 buah tangki statik di lokasi-lokasi strategik untuk membolehkan pengguna menerima bekalan air sekiranya berlaku gangguan bekalan air semasa sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari ini.
AKSB dalam satu kenyataan berkata, bekalan air itu disediakan secara percuma kepada pengguna ekoran penggunaan bekalan air terawat dijangka meningkat semasa cuti perayaan tersebut.
Menurutnya, AKSB turut menyediakan sembilan buah lori tangki air milik syarikat itu selain 30 lori air kontrak yang disewa menerusi peruntukan kerajaan negeri untuk mengisi air tangki statik dan menghantar air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air.
“Kesemua Loji Rawatan Air (LRA) AKSB beroperasi pada kapasiti maksimum dengan jumlah pengeluaran air melebihi 500 juta liter sehari semasa musim perayaan itu.
“Selain itu, kerja penyelenggaraan di LRA yang boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat dihentikan buat sementara waktu,” katanya.
Menurut kenyataan itu, unit pembaikian paip termasuk unit mekanikal dan elektrikal AKSB di seluruh daerah sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kejadian di luar jangkaan seperti insiden paip pecah atau kerosakan pam.
Katanya, persediaan itu dilakukan bagi mereka yang pulang ke kampung untuk sambutan Tahun Baharu Cina semasa semua masyarakat menziarahi keluarga mereka sekali gus meningkatkan permintaan air.
Tambahnya, Unit Hal Ehwal Pelanggan AKSB sentiasa bersedia untuk menerima aduan berkaitan gangguan bekalan air melalui talian 15777 bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam atau WhatsApp ke 019-575 5777. -K! ONLINE