TIADA sebarang syarat mahupun pampasan dituntut oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi membenarkan bekas perseorangan wanita No.1 negara, Goh Jin Wei untuk bergerak secara profesional.
Sebaliknya, juara remaja dunia dua kali itu dibenarkan untuk menyertai mana-mana kejohanan selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan pengurusan BAM dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.
Jin Wei tanpa berselindung mengakui sangat gembira apabila kemelut yang tercetus antara dia dan badan induk badminton negara itu dapat diselesaikan dengan kadar segera bagi membolehkannya fokus terhadap latihan.
“Pertama sekali, terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta semua yang memberi sokongan kerana perkara ini dapat diselesaikan.
“Saya sangat bersyukur kerana BAM tidak meletakkan sebarang syarat ataupun menuntut pampasan bagi membenarkan saya bergerak secara profesional. Saya sangat gembira kerana Tan Sri juga sudah beri restu,” katanya ketika ditemui di Bukit Kiara semalam.
Pemain berusia 22 tahun itu juga tidak menyangka perkara berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat memandangkan sebelum ini ada pemain yang memerlukan masa agak lama bagi menyelesaikan isu sedemikian.
Pada masa sama, Jin Wei yang perlu bergantung kepada ubat seumur hidupnya menjelaskan, dia mahu fokus terhadap latihan serta memantau tahap kesihatannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menyertai mana-mana kejohanan.
“Memang saya tidak jangka ia (isu) akan berakhir sepantas ini tetapi saya syukur kerana masalah sudah selesai. Semasa keputusan (hukuman) dibuat sebelum ini, saya sangat kecewa sehingga tidak dapat tidur.
“Buat masa sekarang, saya tidak mahu tergesa-gesa untuk letak sasaran kerana apa yang paling penting adalah fokus kepada latihan serta pantau kesihatan. Sekiranya cergas, saya sasar Terbuka Switzerland Mac depan sebagai kejohanan pertama,” ujarnya.
Sebagai rekod, arena sukan negara sebelum ini gempar dengan keputusan BAM tidak mendaftarkan Jin Wei dan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia dalam sebarang kejohanan selama dua tahun selepas mereka membuat keputusan untuk bergerak secara profesional.
Bagaimanapun, selepas beberapa siri perjumpaan dan perbincangan, BAM mengambil keputusan menarik semula hukuman tersebut dengan kedua-dua pemain itu bebas menyertai mana-mana kejohanan berkuat kuasa serta-merta kelmarin.