PONTIAN – Barisan Nasional (BN) Johor belum lagi menentukan sebarang kuota atau peratus bagi memilih calon-calon muda atau baharu walaupun ada pandangan supaya menggunakan kaedah di Melaka dan Sarawak.
Pengerusi BN Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, senarai calon-calon belum dipastikan dan belum pun dimuktamadkan kerana masih ada masa untuk BN melakukan pemilihan tersebut.
Katanya, BN Johor tidak boleh menjadikan PRN Melaka dan Sarawak sebagai model bagi memilih calon memandangkan banyak perkara perlu dipertimbangkan sejajar dengan kepentingan negeri ini.
“Kita akan mengambil kira semua pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak terutama Bahagian-Bahagian UMNO yang akan mencalonkan nama-nama yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.
“Perbincangan seterusnya akan melibatkan kepimpinan tertinggi BN dan UMNO sebelum keputusan pemilihan calon-calon dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya selepas penyampaian sumbangan kepada masyarakat Tionghua di Dewan Muafakat Sungai Pinggan di sini hari ini.
Hasni menambah, proses mengenal calon ini adalah melihat kepada keperluan semasa kerana UMNO bukanlah parti yang statitik tetapi parti yang berkembang.
“Parti mendengar dan akan mengambil langkah-langkah supaya kita membangun dengan masyarakat dalam usaha membentuk kerjaaan Negeri Johor Johor yang memenuhui aspirasi dan dan harapan rakyat Johor,” ujarnya. – K! ONLINE