TEHRAN – Pasukan Iran menjadi negara pertama rantau Asia yang mengesahkan tiket automatik ke pentas Piala Dunia 2022 selepas merekodkan kemenangan 1-0 ke atas seteru tradisi, Iraq pada aksi kelayakan Kumpulan A zon Asia awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Azadi itu, Iran berjaya mengutip tiga mata berharga hasil ledakan penyerang sensasi kelab FC Porto, Mehdi Taremi pada minit ke-48, sekali gus mengutip 19 mata daripada tujuh perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Dragan Skocic merekodkan kemaraan ke kejohanan bola sepak berprestij buat kali keenam dalam sejarah dan kali ketiga berturut-turut sejak edisi 2014.
Skocic mengakui cukup berbangga apabila dapat menutup mulut pengkritik untuk membantu pasukan layak beraksi di Qatar nanti, selain memuji prestasi memukau pasukan sepanjang kempen kelayakan kali ini.
“Pertamanya, saya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan pemain yang beraksi dengan cukup cemerlang pada aksi kali ini kerana bukan mudah mengutip tiga mata khususnya ketika bertemu Iraq.
“Kemenangan ini adalah hadiah buat ribuan penyokong kami yang sudah dibenarkan untuk memenuhi stadium. Kegembiraan mereka sangat memberi kepuasan kepada saya dan barisan pemain.
“Secara keseluruhan, saya gembira dapat menutup mulut pengkritik yang mempersoalkan lantikan saya dua tahun lalu sebelum berjaya membantu Iran meraih 13 kemenangan dalam 14 perlawanan yang diharungi.
“Fokus kini adalah untuk membantu pasukan bersedia mengharungi kempen Piala Dunia di Qatar nanti,” katanya.
– AGENSI