PETALING JAYA – Trafik di beberapa lebuh raya sekitar Lembah Klang dilaporkan sesak ketika ini akibat hujan lebat dan kemalangan.
Menerusi laporan di Twitter @Plustrafik, kenderaan dilaporkan bergerak perlahan di Kilometer (KM) 294 arah selatan dari Bangi ke Southville City ekoran kemalangan.
“Selain itu, satu kemalangan berlaku di KM 271.5 arah utara dari bandar Ainsdale ke Nilai, Negeri Sembilan menyebabkan lorong kanan terhalang serta sesak.
“Di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), trafik dilaporkan tidak bergerak kerana pokok tumbang di Persimpangan Damansara arah utara dari Damansa ke Kota Damansara.
“Semua lorong terhalang dan pengguna lebuh raya diminta untuk menggunakan laluan alternatif,” katanya.
Menurut laporan itu, persimpangan masih ditutup ketika ini kepada semua kenderaan bagi kerja pengalihan pokok tumbang.
Dalam pada itu, di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), sebuah kereta terbakar dilaporkan di KM2.0 arah Utara dari Seafield ke Shah Alam menyebabkan trafik perlahan.
“Di Lebuh Raya Besraya, trafik turut dilaporkan perlahan dan terhalang akibat banjir kilat di KM 8.1 arah utara,” ujarnya.– K! ONLINE