fbpx

Geopark Lenggong tidak jejaskan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAMSUL (kanan) melawat tapak pameran Seminar Aspirasi Lenggong Geopark di Dewan Merdeka Lenggong,Perak. FOTO - ZULFACHRI ZULKIFLI.

LENGGONG – Rancangan kerajaan untuk menjadikan Lenggong sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan dan Global tidak akan menjejaskan pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebaliknya Geopark di Lembah Lenggong itu akan dijadikan pelengkap ke arah memperkukuhkan lagi pengiktirafan tapak warisan dunia itu.

“Perancangan pembangunan di kawasan tersebut akan dilakukan secara teliti dengan mengambil kira pengiktirafan Tapak Warisan Dunia yang diperolehi sejak 2012.

“Kebimbangan kita sebenarnya ialah penarikan balik jika usaha-usaha pemeliharaan di Lembah Lenggong tidak dilakukan. Bagaimanapun saya cukup yakin Geopark Lenggong adalah pelengkap ke arah memperkukuhkan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Aspirasi Lenggong Geopark di Dewan Merdeka Lenggong di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Komunikasi Multimedia, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Tambah Shamsul Anuar, kementeriannya mensasarkan Lenggong akan mendapat pengiktirafan Geopark Kebangsaan pada tahun hadapan dan pengiktirafan Geopark Global pada 2025.

“Apa yang penting kita mahu lonjakkan Geopark ini dengan pembangunan secara menyeluruh termasuk infrastrukturnya,” katanya.

Menurutnya, kementerian telah mengemukakan permohonan peruntukan pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebanyak RM4.3 juta melibatkan kerja-kerja mengenal pasti, menciri, menilai, memulihara dan menaik taraf geotapak yang berpotensi untuk dibangunkan.

“Untuk galeri Geopark pula, kita akan bangunkan ia melalui hasil sumbangan daripada Yayasan Al Bukhari yang menjalinkan kerjasama dengan kementerian dengan sumbangan dana sebanyak RM50 juta untuk lima tahun bagi projek biodiversiti alam termasuk Geopark Lenggong ini,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI