MELBOURNE, Australia – Rafael Nadal semakin hampir memahat sejarah sebagai pemegang gelaran Grand Slam terbanyak iaitu 21 gelaran apabila melangkah ke pentas final Terbuka Australia selepas menewaskan Matteo Berrettini pada aksi separuh akhir di Rod Laver Arena petang semalam.
Berrettini yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan cuba menghadirkan saingan sengit, namun Nadal terlalu gah untuk melengkapkan kemenangan 6-3, 6-2, 3-6 dan 6-3 dalam tempoh dua jam 55 minit.
Jaguh No. 5 dunia dari Sepanyol berusia 35 tahun itu memiliki jumlah Grand Slam yang sama dengan dua pesaing utamanya iaitu jaguh No. 1 dunia dari Serbia, Novak Djokovic dan Roger Federer (ranking ke-17 dari Switzerland) dengan masing-masing 20 gelaran.
Sementara itu, di pentas final Ahad ini, Nadal akan membuat perhitungan sama ada dengan bintang No. 2 dunia dari Rusia, Daniil Medvedev atau pemain No. 4 dunia dari Greece, Stefanos Tsitsipas.
Sepanjang kariernya, Nadal hanya meraih satu kejuaraan Terbuka Australia pada 2009. Sejak itu, Nadal bergelut dengan prestasi selain mengalami kecederaan.
“Saya akui dua set pertama adalah permainan terbaik saya. Sudah pasti ia bukan satu tugas yang mudah tetapi saya berjaya melepasi cabaran Berrettini.
“Bagi saya semua ini adalah mengenai Terbuka Australia. Sebelum ini, saya bernasib baik apabila menjuarai Terbuka Australia pada 2009. Selepas itu saya tidak pernah memikirkan peluang lain selain melangkah ke final pada 2022,” tegas Nadal.