LUMUT – Tindakan beberapa pihak melakukan ‘troll’ serta mempersendakan vaksinasi dos penggalak Covid-19 dalam media sosial dipercayai menjadi punca ramai yang tidak mahu mengambil vaksin tersebut termasuk di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, ketika ini bekalan vaksin mencukupi kerana dos penggalak kurang mendapat sambutan berbanding vaksinasi sebelumnya.
“Ramai yang terlibat dalam ‘troll’ mendakwa dos penggalak merosakkan (kesihatan badan), mereka buat main-main, sedangkan dos itu diberikan berdasarkan kajian demi kajian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memutuskan rantaian Covid-19 sebaik mungkin.
“Tetapi, ada satu pihak lagi ‘troll’ pula usaha kerajaan ini (dengan niat) supaya seramai mungkin tidak ambil dos penggalak.
“Jadi, kita harap supaya pihak terlibat menghentikan tindakan mereka ini supaya usaha kerajaan menghentikan jangkitan Covid-19 dapat dilakukan sebaik mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas menyertai Operasi Hu-Harimau Jabatan Kesihatan Perak di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Menurut beliau, setakat 26 Januari lalu, hanya 42 peratus atau kira-kira 711,000 individu dewasa di Perak telah mengambil dos penggalak.
Jelasnya, ia jauh berkurangan berbanding mereka yang mengambil dos pertama vaksin iaitu sebanyak 75 peratus atau 1.8 juta orang manakala dos kedua atau lengkap sebanyak 74 peratus. -K! ONLINE