fbpx

‘Dr Ganja’ diperintah bela diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amiruddin ketika hadir berkerusi roda pada prosiding keputusan akhir kes pendakwaan terhadap 39 pertuduhan berkaitan dadah di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

SHAH ALAM – Seorang pesara tentera diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas 39 pertuduhan berkaitan dadah jenis ganja termasuk mengedar, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Julia Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap kesemua pertuduhan dihadapi Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 63, atau dikenali ‘Dr Ganja’.

Dalam penghakimannya, Julia menjelaskan keputusan tersebut selepas menimbang semua hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan dengan prinsip maksima.

“Pihak pendakwaan telah berjaya mewujudkan prima facie terhadap tertuduh berdasarkan keterangan langsung dan tidak tanpa bergantung mana-mana anggapan.

“Justeru, tertuduh diperintahkan membela diri bagi kesemua pertuduhan itu,” katanya.

Mahkamah menetapkan empat hari bagi prosiding bela diri iaitu 7, 8, 13 dan 18 April depan.

Berdasarkan pecahan, Amiruddin yang hadir pada prosiding itu dengan berkerusi roda didakwa 16 pertuduhan mengedar ganja dengan anggaran berat 77.84 kilogram mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama gantung sampai mati.

Dia juga didakwa 18 pertuduhan menanam ganja mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Amiruddin dengan pangkat terakhirnya sebelum bersara sebagai kapten itu juga menghadapi empat pertuduhan memiliki ganja serta satu memasukkan kanabis dalam badan.

Bagi dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang pukul 12.30 tengah hari pada 26 Mei 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin telah mengemukakan 17 saksi sepanjang perbicaraan bermula 8 April 2019.

Sementara tertuduh diwakili peguam, Ram Karpal Singh dan Harshaan Zamani. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI