PETALING JAYA- Tindakan seorang pemandu kereta jenis Myvi melanggar lampu isyarat merah mengundang padah selepas kenderaan itu dikejar pasukan peronda polis yang secara kebetulan berada di lokasi tersebut.
Menerusi perkongsian seorang pengguna laman Facebook, Naser PakBond Badar di DashCam Owners Malaysia, pemandu Myvi terbabit dilihat melanggar lampu merah pada pukul 9.38 malam kelmarin.Bagaimanapun, lokasi kejadian itu tidak dinyatakan.
“Geng, aku gelakkan Myvi redah lampu merah, (dia) tidak perasan ada peronda polis. Polis baru nyalakan lampu biru sebab nak kejar Myvi,” tulisnya ringkas.
Berdasarkan video itu, Myvi tersebut dilihat memotong lampu isyarat selepas mengandaikan tiada kenderaan lalu di kawasan tersebut yang sunyi pada waktu malam.
Pun begitu, nasib tidak menyebelahi pemilik kereta itu selepas dia dikejar peronda polis yang secara kebetulan turut berada di laluan sama.
Sementara itu, rata-rata pengguna Facebook turut memberikan pelbagai reaksi berhubung insiden itu termasuk menasihatkan pemandu untuk terus mematuhi undang-undang walaupun pada waktu malam.
“Dulu pernah kena tahan (langgar lampu isyaat merah), beritahu takut berhenti pada waktu malam, seorang diri,” ujar Faiz Fauzi.
“Waktu malam polis memang akan lebih berjaga-jaga, pernah kena tahan dan anggota itu catat butiran. Kalau ada apa-apa kes contoh samun, mungkin kita akan dipanggil untuk kawad cam,” kongsi Alizi Abd. Aziz. -K! ONLINE