fbpx

Rugi RM2,200 angkara bayar deposit rumah sewa tak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang pembantu kedai makan terpaksa berputih mata apabila wang deposit rumah sewa yang dibayarnya sebanyak RM2,200 lesap selepas terpedaya dengan penipuan tawaran rumah sewa tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula semalam selepas mangsa yang merupakan wanita berusia 22 tahun menerima mesej melalui ‘mesengger’ Facebook dan menghubungi suspek.

“Mangsa telah bertanya mengenai sewa, deposit dan perjanjian rumah sewa tersebut dan berminat untuk menyewa sebelum membuat dua kali transaksi pemindahan wang sebanyak RM2,200 daripada akaun Maybank milik mangsa ke akaun Maybank 164829045218 atas nama Mohd. Leeden.

“Selepas bayaran dibuat penama gagal dihubungi dan selepas mangsa membuat semakan, alamat rumah sewa tersebut adalah tidak wujud,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang berasa diperdaya telah datang ke balai polis bagi membuat laporan untuk tindakan selanjutnya.

Jelas Mohd. Wazir, berdasarkan siasatan awal modus operandi dalam kes ini adalah suspek memperdaya pengadu dengan menawarkan rumah sewa tidak wujud dengan mendorong mangsa membuat pembayaran sehingga mengalami kerugian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih giat dilakukan bagi mengesan dan menahan suspek terlibat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI