fbpx

Bengkel kenderaan curi air dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas SPAN bertindak memotong bekalan air di sebuah premis yang didapati dipasang tanpa melalui meter yang sah.

CYBERJAYA – Sebuah bengkel kenderaan di Rawang, Selangor diserbu kerana ‘mencuri’ bekalan air bersih milik Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Dalam serbuan oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor semalam, sebuah pusat servis kenderaan didapati melakukan sambungan bekalan air secara tidak sah.

SPAN menerusi kenyataan berkata, premis berkenaan didapati telah membuat sambungan bekalan air tanpa melalui meter yang sah dan tanpa kebenaran pihak Air Selangor.

Menurutnya, pihaknya telah bertindak memotong bekalan air ke atas premis tersebut dan pemiliknya akan dipanggil untuk memberi keterangan selain turut berdepan tindakan perundangan.

“SPAN sentiasa komited menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air tidak sah.

“Operasi seperti ini akan diteruskan bersama-sama operator-operator bekalan air di seluruh negara dari semasa ke semasa,” katanya.

Jelasnya lagi, notis pemberitahuan kesalahan telah dikeluarkan kepada pihak premis yang terlibat serta sambungan tanpa kebenaran tersebut telah disita.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI