PUTRAJAYA – Selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bawah 18 tahun sejak 8 September lalu, kini ia bakal diperluaskan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.
Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali sambil berkata, seramai empat juta individu berumur lima tahun hingga 12 tahun akan layak divaksin.
“Dengan ketibaan bekalan pertama esok, pemberian dijangka mula pada 3 Februari depan dan buat permulaan sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Ghazali berkata, program yang akan dikenali sebagai PICKids itu turut menggunakan vaksin jenis mRNA jenama sama, namun disesuaikan khas bagi kanak-kanak.
Vaksin skim itu jelasnya, akan dihantar ke 52 pusat simpanan seluruh negara dan peringkat awal, ia akan diberi kepada pesakit kanak-kanak di hospital-hospital sekitar Lembah Klang.
“Saya ingin menegaskan bahawa ia adalah selamat dan berkesan serta disokong kenyataan dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Akademi Perubatan Malaysia pada 20 Januari lalu,” katanya. – K! ONLINE