fbpx

Luluh hati lihat anak terbujur kaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF (tengah) ditenangkan oleh kakitangan Amal Team Rembau selepas kehilangan Mariana (gambar kecil) ketika ditemui di Hospital Rembau semalam.

REMBAU – Hajat seorang bapa untuk menerima menantu ber­kecai apabila anak perempuannya yang dijadualkan bernikah pada Jun ini maut dalam kemalangan di Jalan Sedia Raja-Mampong di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 10 pagi itu mengakibatkan Mariana Arif, 21, dari Kampung Tanjung Sena Hulu meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, teman lelakinya yang memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback, Muhammad Aiman Norhazmi, 22, parah apabila tulang rusuknya hancur, paru-paru bocor dan mengalami pendarahan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dari arah Jalan Sedia Raja ke Mampong itu terbabas.

“Kereta itu kemudian me­rempuh tiang hingga mengakibatkan penumpang depan tercampak keluar,” katanya.

BEGINILAH keadaan kereta Proton Iswara Aeroback yang dinaiki Mariana selepas terlibat nahas di Jalan Sedia Raja-Mampong kelmarin.

Sementara itu, bapa Mariana, Arif Sharkawi, 67, berkata, luluh hatinya apabila mendapat tahu mengenai kejadian tersebut ke­rana Mariana merupakan anak perempuan tunggalnya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya sangat sedih apabila lihat jasad anak saya ditutup dengan kain. Sehingga kini saya masih terbayang-bayang wajahnya.

“Anak bongsu saya belum bertunang dan berhasrat untuk terus berkahwin dengan Muhammad Aiman pada 26 Jun ini sempena hari jadinya. Dia baru lapan hari bekerja di sebuah kilang di Chembong,” katanya sebak ketika ditemui di Hospital Rembau.

Tambahnya, sejak berkawan, dia percaya Muhammad Aiman boleh menjaga anaknya kerana dialah yang mengambil dan menghantar anaknya ke tempat kerja.

Jenazah Mariana diuruskan secara percuma oleh Amal Team Rembau dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjong Sena semalam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI