fbpx

China rancang hantar 13,000 satelit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
China mahu wujudkan gugusan mega satelit. - Xinhua

BEIJING – China mencetuskan kebimbangan agenda pengintipan berhubung rancangannya  untuk mewujudkan ‘gugusan mega’ mengandungi sehingga 13,000 satelit  yang beroperasi di orbit rendah  Bumi sama seperti gugusan satelit Starlink milik SpaceX, lapor portal berita MainOnline kelmarin.

Rangkaian  itu adalah sebahagian daripada pelan internet mudah alih 5G China, dengan beberapa firma pertama diberi kontrak untuk memulakan kerja pembinaan satelit itu di bandar Chongqing. 

Butiran terperinci mengenainya masih kabur tetapi rangkaian satelit tersebut antara lain bertujuan untuk mengisi kekosongan dalam komunikasi daratan dan memberi capaian internet di kawasan pedalaman dan terpencil.

Satu gugusan mega terdiri daripada ratusan, malah ribuan satelit yang bekerja  bersama untuk meliputi semua kawasan di Bumi. Kebanyakannya beroperasi pada ketinggian beberapa ratus kilometer dari daratan untuk menyediakan perkhidmatan internet.

Bagaimanapun, sebarang pelancaran satelit secara besar-besaran akan meningkatkan kebimbangan ia akan digunakan bagi tujuan mengintip Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Setakat ini, rangkaian satelit Starlink milik SpaceX memiliki gugusan satelit terbesar dengan hampir 2,000 satelit beroperasi tetapi Amazon merancang untuk melancarkan beribu-ribu satelit lain, manakala Kesatuan Eropah masih meneliti pilihannya sendiri.

Beberapa syarikat yang diberi kontrak membina satelit di pusat bandar Chongqing menyatakan, bandar raya itu menawarkan pelbagai kelebihan strategik termasuk tenaga kerja dan ekonomi.

Salah satu syarikat berkenaan, Commsat memberitahu, persaingan antarabangsa untuk mendapatkan frekuensi di samping sumber di orbit  rendah Bumi kini memacu pembangunan satelit.

Butiran pertama mengenai ‘gugusan mega’ itu didedahkan pada penghujung 2020 apabila pemerintah China memohon mendapatkan spektrum untuk dua gugusan satelit orbit rendah Bumi kepada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa.

Spektrum itu dinamakan GW dan mengandungi 12,992 satelit yang akan beroperasi pada ketinggian antara 498 hingga 1,144 kilometer dari permukaan Bumi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI