fbpx

Keperluan program hiburan? Itu memang tak boleh dielak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIF SATAR

MENGGALAS tanggungjawab sebagai pengacara program realiti, Big Stage di samping Sherry Alhadad memasuki empat musim, Alif Satar sedar mengenai cabaran yang akan dihadapinya kali ini.

Ujar pemilik nama lengkap, Muhammad Alif Mohd. Satar itu, cabaran mengendalikan program siaran langsung era pasca pandemik Covid-19 ketika ini sangat berbeza.

Realitinya, bukan tugas seorang pengacara televisyen sahaja berdepan cabaran getir, bahkan mana-mana cabang kerjaya di dunia turut dihempap permasalahan sama disebabkan wabak yang masih tidak berlalu pergi.

Ada banyak aspek perkara yang perlu diambil kira dan diterjemahkan dengan sehabis baik sebagai seorang pengacara memandangkan dunia sekarang tidak lagi bersituasikan seperti zaman sebelum Covid-19.

“Sebagai seorang pengacara, sekarang ini memang semua orang sensitif. Di negara kita misalnya, masih ramai yang berperang dengan permasalahan Covid-19, banjir yang berlaku secara tiba-tiba dan pelbagai perkara berbangkit lain.

“Mengendalikan program siaran langsung merupakan satu cabaran besar. Apa yang dibutirkan dari bibir kita senang menjadi isu.

“Maklumlah, dengan media sosial seperti Twitter yang menjadi tempat luahan perasaan tentang pelbagai perkara, kita perlu sedar dan sentiasa menyalurkan mesej positif dengan bijak,” katanya.

Berhati-hati

Bercakap tentang pendekatan dirinya berhati-hati dalam mengendalikan sesuatu program, Alif hanya boleh berjanji untuk melakukan sehabis baik demi khalayak.

Dia bukan tidak faham bahawa kecaman ada di mana-mana. Sepatah sahaja tersalah sebut, tidak mustahil insiden sebegitu boleh menjadi igauan dan ‘cakap-cakap’ penonton untuk satu tempoh lama.

“Untuk program Big Stage 2022. Saya percaya pihak Astro sudah tahu apa risiko dan sepatutnya dilakukan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

ALIF tidak melihat keterujaan seseorang juri cuba mengajar dan mencurahkan ilmu pengetahuan dalam sesebuah program hiburan secara langsung sebagai satu masalah besar. Foto – ASTRO

“Buat ujian calitan, patuhi prosedur operasi standard (SOP), terhadkan kehadiran penonton mengikut kapasiti lokasi konsert dan sebagainya.

“Memang tak boleh buat apa kerana kehidupan harus diteruskan bersama atau tanpa Covid-19.

“Yang penting, kita jaga diri kita di mana sahaja. Pasti akan ada kelompok penonton yang mempersoalkan keperluan hiburan pada waktu yang sekarang. Itu memang tak boleh dielak.

“Menjadi kebiasaan orang akan berkata-kata, saya sebagai pengacara televisyen hanya boleh jalankan tanggungjawab dan peranan yang diberikan sebaik mungkin.

“Kita buat kerja kita sahaja,” katanya.

Tugas pengacara penting

Cakna isu yang menjadi perbualan ramai melibatkan tugas pengacara program realiti, termasuk segelintir juri yang menyebabkan sesebuah program realiti ‘overrun’ (melanggar durasi) kerana ingin menyampaikan ilmu, Alif mempunyai pandangan tersendiri.

Pelantun lagu Jangan Nakal itu tidak melihat perkara berkenaan sebagai satu masalah.

Sebagai pengacara yang terlibat dalam cabang seni lain seperti nyanyian dan lakonan, dia faham kepentingan menyampaikan ilmu seni dari kerusi juri kepada peserta yang bertanding.

MUSIM ini, Alif dan Sherry sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai pengacara program pencarian bakat Big Stage 2022.

“Itulah asam garam program siaran langsung. Juri memang ada banyak benda nak cakap dan mahu memberi ilmu pengetahuan kepada peserta dalam sesebuah pertandingan.

“Kadang-kadang apa yang terbuku dalam hati juri, mereka tak sempat cakap sebab nak jaga durasi.

“Datuk Seri Siti Nurhaliza pun ada cakap memang tak semua benda sempat diluahkan ketika memberikan komen sebagai juri.

“Penonton zaman sekarang pun dah bijak. Mereka sentiasa ingin belajar. Kalau juri tak bincangkan, mereka akan bincangkan dalam media sosial seperti Twitter.

“Justeru, sebagai pengacara, kita perlu bijak mengendalikan sesuatu situasi.

KEMAMPUAN Alif Satar di pentas pengacaraan tidak perlu lagi dipertikaikan.

“Namun, akan ada juri yang cakap panjang dan ada yang mungkin dia beri komen, orang tak faham.

“Bukan nak cakap saya ini banyak ilmu sebagai pengacara tetapi, kita buat sahaja yang terbaik dan tahu tugas sebagai pengendali rancangan,” tutur Alif.

Tambahnya, tugas mengendalikan program secara langsung bukan sesuatu perkara yang mudah, namun itulah keseronokan yang membuatkan tugas sebagai pengacara sangat dekat di hatinya.

Bukan mudah

“Tak semua perkara kita boleh ‘sumbat’ dalam sebuah program berdurasi dua jam.

“Kalau pengurus pentas kata kena berhenti, kita kena berhenti. Tapi kena bijak bagaimana nak mengendalikan sesuatu situasi yang ‘berlebih-lebih’.

“Kita buat program pun tiadalah sampai enam jam. Jadi, senang cerita, perlu faham tugas masing-masing. Baik juri, pengacara dan peserta termasuk semua pihak yang terlibat,” katanya.

LIMA tahun bersama The Locos, Alif terus memaju perjalanan karier nyanyiannya bersama band itu menerusi lagu baharu kelak.

Menyentuh soal kerjaya nyanyian, Alif kini selesa bersama Alif Satar & The Locos.

Bergerak ke hadapan bersama, Alif bersama band berkenaan akan muncul dengan dua single baharu tidak lama lagi.

“Selepas Anugerah Terindah, Alif Satar & The Locos akan muncul dengan dua single baharu tidak lama lagi.

“Kami sudah lima tahun bersama, saya sangat selesa dengan The Locos dan sekarang pun kami ada studio sendiri.

“Selepas ini, kami akan mula menerbitkan single untuk penyanyi lain juga,” kata Alif yang mula mengacarakan Big Stage 2022 di samping Sherry bermula 6 Februari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI