PETALING JAYA – Akibat tidak menarik brek tangan dengan sempurna menyebabkan sebuah bas awam merempuh sebatang pokok lalu menimpa empat buah kenderaan yang diparkir di Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, empat kenderaan terbabit mengalami kerosakan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.01 pagi.
“Siasatan mendapati pemandu bas berusia 39 tahun telah meletakkan kenderaannya di tepi jalan kerana mahu ke tandas.
“Kita dapati pemandu tidak menarik brek tangan dengan sempurna menyebabkan bas bergerak ke hadapan dan melanggar pokok di tepi jalan. Pokok berkenaan tumbang dan menimpa empat buah kenderaan iaitu Pajero, Ford Laser, Isuzu dan Renault,” ujarnya sebentar tadi.
Jelas beliau, ekoran kemalangan itu, bas berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan. Setakat ini keempat-empat pemilik kenderaan belum membuat laporan polis,” ujarnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE