LONDON – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas membelasah kekasihnya dengan alasan wanita itu tidak tertarik kepada bintang bola sepak Manchester United, Cristiano Ronaldo, lapor akhbar Daily Star semalam.
Ross Flynn dituduh melakukan perbuatan itu ketika mereka pulang dari janji temu dan berlaku perbualan tentang siapakah yang lebih tampan antara bekas teman lelaki wanita itu yang telah meninggal dunia atau Ronaldo.
Wanita itu yang menganggap Flynn hanya bergurau, memberitahu bahawa dia lebih tertarik kepada bekas kekasihnya kerana tidak meminati Ronaldo.
“Suspek menumbuk muka teman wanitanya beberapa kali sehingga dia terhumban ke lantai dan mengalami patah hidung.
“Ini kerana dia tidak dapat menerima kenyataan wanita itu lebih tertarik kepada bekas kekasihnya yang sudah mati berbanding Ronaldo,” demikian menurut kertas pendakwaan di Mahkamah New Castle.
Wanita itu cuba menerangkan bahawa pemain bola sepak itu tidak termasuk dalam kategori lelaki yang diminati namun tidak diendahkan oleh Flynn. Mereka kini berpisah.
Mahkamah melabelkan Flynn sebagai individu berisiko tinggi untuk mana-mana bakal kekasihnya kelak. – Agensi