MOSCOW – Perlumbaan maraton di Siberia, Rusia dipercayai memecahkan Guinness World Records apabila peserta berlari ketika suhu mencecah 63.4 darjah Celsius di bawah paras beku, lapor laman berita UPI semalam.
Penganjur acara Pole of Cold Marathon itu berkata, masa permulaan perlumbaan itu diawalkan pada awal pagi 21 Januari lalu selepas ramalan cuaca menjangkakan suhu akan menurun kepada -76 darjah Celsius pada sebelah petang.
Guinnes World Rcords setakat ini menyenaraikan maraton paling sejuk di dunia adalah Maraton Ais Siberia 2001, di mana suhu ketika itu adalah kira-kira 38 darjah Celsius di bawah paras beku.
Pelari tempatan, Vasily Lukin memenangi Pole of Cold Marathon itu dalam masa 3 jam 22 minit.
Marina Sedalischeva yang merupakan warga Yakutia pula menjadi wanita pertama yang menamatkan perlumbaan ekstrem itu dengan catatan masa 4 jam, 9 minit. – Agensi