LONDON – Kem Chelsea dilaporkan bergolak selepas beberapa penyerang pasukan itu mula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap layanan pengurus, Thomas Tuchel terhadap mereka.
Bukan sahaja Romelu Lukaku, malah beberapa pemain lain seperti Timo Werner, Kai Havertz, Christian Pulisic dan Callum Hudson-Odoi tidak gembira dengan situasi di Stamford Bridge.
Pemain-pemain berkenaan dikatakan tidak gembira dengan sikap Tuchel yang terlalu lantang mengkritik ketumpulan jentera serangan tidak kira semasa perlawanan sebenar mahupun di padang latihan.
Bagaimanapun, Tuchel berhak untuk menyuarakan kekecewaan selepas penyerangnya gagal menampilkan aksi dimahukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini sehingga menyaksikan mereka hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan.
Situasi semasa yang berlaku dalam kem The Blues itu sekali gus mencetuskan spekulasi panas apabila ada antara pemain-pemain tersebut menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas nanti.
Apa yang pasti, perkembangan terbaharu itu pastinya merisaukan peminat-peminat Chelsea dalam perebutan takhta liga musim ini apabila menghuni tangga ketiga liga dan dibezakan 10 mata dengan pendahulu, Manchester City.
Meskipun kemenangan 2-0 ke atas Tottenham Hotspur sebelum ini sedikit melegakan The Blues, namun ia masih belum cukup untuk memuaskan hati pemain-pemain tersebut. – AGENSI