PETALING JAYA – Diugut dan diancam bunuh oleh individu tidak dikenali dalam laman sosial, pelakon yang juga pempengaruh media sosial, Aisar Khaled bertindak membuat laporan polis demi keselamatan nyawanya.
Kata Aisar, dia nekad membuat laporan polis semalam ekoran tidak tahan dengan ancaman dan ugutan bunuh yang diterimanya daripada seorang lelaki tidak dikenali dalam Instagram.
“Terlalu banyak kes ugut dan sebagainya sejak kebelakangan ini. Saya sendiri pun tak kenal siapa individu di sebalik topeng tersebut.
“Jadi untuk tidak mahu kusutkan kepala dan ganggu emosi selain demi keselamatan diri dan keluarga, saya terus buat laporan polis semalam. Biar pihak terbabit yang siasat dan selesaikan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Aisar, 22, turut berpesan kepada semua agar segera membuat laporan polis jika menerima nasib sepertinya.
“Kalau selalu dapat mesej yang mengganggu emosi kita, terus sahaja buat laporan polis atas keselamatan anda.
“Buat netizen pula, jagalah kata-kata dan perbuatan kita takut nanti jadi semula pada keluarga sendiri.
“Ramai yang bunuh diri atau kemurungan dan sebagainya kerana kata-kata anda semua,” tulisnya.
Terdahulu, pelakon drama bersiri Chandelier itu memuat naik laporan polis yang dilakukannya semalam selain berkongsi video ugutan bunuh daripada seorang lelaki bertopeng yang langsung tidak dikenalinya. – K! ONLINE