KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi jelita, Daiyan Trisha menafikan sedang menjalin hubungan cinta dengan abang kepada Ummi Nazeera iaitu Nazreem Musa yang berimej androgini.
Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin bagaimanapun mengakui sangat rapat dengan Nazreem.
Pun begitu, pelakon itu berkata, hubungan mereka tidak lebih daripada sahabat rapat.
“Saya memang rapat dengan Nazreem. Dia merupakan sahabat baik saya. Mungkin sebab kami sangat rapat, selalu pergi acara fesyen bersama orang fikir kami bersama (sedang bercinta).
“Tapi sebenarnya, tidak. Kita cuma memang sangat-sangat rapat. Saya sayang dia dan mengakui memang selesa berkawan dengannya.
“Kami dah kawan sejak dua tahun. Bukan saya ‘friendzone’ dia atau macam mana tapi senang cerita, kami faham perangai masing-masing memang ‘click’ (selesa) tapi hubungan tak lebih daripada sahabat. Itu yang mungkin kadang-kadang orang keliru,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sekadar informasi, androgini merupakan istilah yang digunakan buat individu berciri maskulin dan feminin pada masa sama.
Daiyan ditemui pada majlis pra pelancaran telefilem Rompak lakonannya bersama barisan pelakon hebat lain seperti Zizan Razak, MK K-Clique, Tony Eusoff dan Chubb E di ibu negara semalam.
Akui pelakon drama Projek: Anchor SPM itu, dia masih berstatus solo buat masa sekarang dan tidak mahu pusing tentang soal kekasih.
“Saya ‘single’ sekarang dan buat waktu ini, memang nak fokus terhadap kerjaya sahaja.
“Tipulah kalau saya cakap sepanjang 10 tahun dalam industri ‘single’ sepanjang waktu. Mestilah pernah (bercinta) tapi saya ini jenis individu yang menjaga privasi sikit dan tak suka berkongsi.
“Tiadalah berahsia sangat dan hanya teman-teman rapat sahaja tahu dengan siapa saya ada hubungan istimewa.
“Mereka boleh tahu apabila tengok atau baca penulisan saya dan kemas kini media sosial dan sebagainya. Tapi sekarang, memang saya ‘single’ dan nak fokus kepada kerjaya,” ujar pelantun lagu Penat itu.
Terdahulu, Daiyan, 28, pernah merakamkan ucapan selamat hari lahir buat Nazreem dengan titipan ayat kedengaran romantis sekitar awal Januari lalu.
“Happy birthday to my baby Nazzy! (selamat hari lahir buat kesayangan saya, Nazzy!) I love you so much (Saya sayang awak sangat-sangat),” demikian antara kapsyen hantaran status berbaur romantis Daiyan buat Nazreem.
Nazreem kemudian membalas dalam ruangan komen: “I love you baby girl. Looking forward to the sweet stuff when we meet. (Saya sayang awak ‘baby girl’. Tak sabar bertemu kemanisan apabila kita jumpa).” – K! ONLINE