PUTRAJAYA – Sebanyak 12 kes kematian Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kematian terkini mencatatkan 31,930 kes.
Menurut data pada laman web CovidNow, tiada kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam semalam.
“Terdapat dua kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-death (BID), dengan jumlah kes BID kekal 6,434 kes,” demikian maklumat tersebut di sini hari ini.
Kesemua kematian dilaporkan di Sabah (3), Selangor (3), Johor (2), Melaka (1), Pahang (1), Perak (1) dan Pulau Pinang (1) serta tiada kematian di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Sebanyak 46,785 kes aktif melibatkan 39,394 kes dikuarantin di rumah, 4,380 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 2,882 kes di hospital, 57 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 72 kes di ICU dengan bantuan pernafasan. -K!ONLINE