PETALING JAYA – Krisis bekalan telur ayam di seluruh negara memberi tekanan kepada peniaga makanan kecil-kecilan terutamanya penjual nasi lemak dan char kuetiau apabila terpaksa mencatu jualan mereka.
Situasi itu ekoran ketiadaan stok bahan asas itu selain berdepan tindakan segelintir pengusaha kedai runcit yang mengehadkan jualan telur ayam kepada dua papan seorang.
Rata-rata mereka yang ditemui mendakwa perkara tersebut berlaku sejak minggu lalu sehingga terpaksa pergi ke beberapa premis demi mendapatkan bekalan barangan keperluan itu.
Bukan setakat itu, ada juga dalam kalangan peniaga yang pernah terputus stok telur ayam selama dua hari disebabkan pemborong tidak dapat menghantar bekalan seperti biasa.
Seorang peniaga nasi lemak di Teluk Kumbar, George Town Norita Ismail, 54, berkata, peniaga kedai runcit mula memberi bayangan akan berlaku krisis telur ayam dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu, katanya, mereka terpaksa mengehadkan penjualan telur ayam kepada pelanggan bagi membolehkan semua pihak mendapat bekalan bahan asas itu.
“Saya hanya boleh beli dua papan sahaja telur setiap hari biarpun merupakan pelanggan tetap sejak 10 tahun lalu dan membeli 300 biji telur Gred B setiap dua hari sekali,” katanya.
Berita berkaitan: Pengguna resah rak telur ayam kosong
Luahan sama turut disuarakan peniaga gerai char kuetiau yang mahu dikenali sebagai Azira, 34, apabila dia terpaksa pergi ke beberapa premis bagi mendapatkan lima papan telur ayam.
“Harga bagi sepapan telur ayam Gred B dijual sehingga RM13 dan kami hanya boleh beli dua papan sahaja.
“Disebabkan itu, saya terpaksa mencari stok di tiga lagi buah kedai termasuk pasar raya untuk cukupkan bekalan harian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azira berkata, dia kini tidak sanggup lagi berdepan kenaikan harga barangan keperluan yang naik mendadak sejak pertengahan bulan ini sehingga memaksanya menaikkan jualan char kuetiau RM1.
Berita berkaitan: Telur gred C, D jadi pilihan pengguna
Sementara itu di Johor, Pemilik Restoran G’Sinar, Azizan Che Harun memberitahu, ada kalanya dia terpaksa membatalkan pesanan pelanggan yang memesan hidangan berasaskan telur.
Katanya, masalah ini berlarutan sejak akhir Disember tahun lalu dan paling ketara menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.
“Saya berniaga makanan masakan panas, tomyam dan sebagainya dan telur antara bahan utama.
“Biasa saya tambah bekalan bahan mentah seminggu sekali, saya sudah pergi beberapa pasar raya berdekatan, kebanyakan rak jualan kosong.
“Kadang-kadang kami terpaksa beritahu pelanggan yang membuat pesanan berasas telur, kami terpaksa tolak sebab telur tak ada,” ujarnya.
Sementara itu, di Perak, seorang penjual mi rebus, Mohamad Hafizi Mohd. Said, 32, berkata, dia tertekan apabila terpaksa pergi ke beberapa premis demi mendapatkan bekalan bahan asas itu.
“Kedai berhampiran rumah semua tiada bekalan, kena pergi kedai jauh, duit minyak pun kos juga. Bila kos barang naik, kuranglah sikit keuntungan, naik harga pelanggan lari pula,” ujarnya.