PEMAIN import baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Moussa Sidibe tidak menunggu lama untuk membuka akaun gol selepas meledak jaringan pada aksi debut menentang kelab Slovakia, MSK Zilina dalam perlawanan persahabatan kelmarin.
Pada aksi di Stadium Al Hamriya, Dubai itu, pasukan Harimau Selatan berjaya mengikat MSK Zilina dengan keputusan seri 2-2 hasil jaringan yang disumbangkan oleh Bergson Da Silva dan Sidibe.
Meskipun hanya dimasukkan pada separuh masa kedua, Sidibe yang merupakan tonggak import dari Mali berjaya menunjukkan kesefahaman yang baik bersama pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.
Dua lagi bintang import baharu, Fernando Forestieri dari Itali dan penyerang Filipina, Bienvenido Maranon turut diberi peluang oleh pengendali, Benjami Mora untuk membuat kemunculan debut bersama JDT.
Forestieri dan Maranon dilihat berjaya bergandingan dengan cukup baik bersama Da Silva di posisi serangan khusunya pada babak pertama dengan memberi kesukaran buat benteng pasukan MSK Zilina.
Keputusan tersebut dianggap positif buat skuad Harimau Selatan yang kali terakhir membuat aksi kompetitif ketika tewas pada final Piala Malaysia kepada Kuala Lumpur City (KL City) dengan kekalahan 0-2, November lepas.
Juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu sedang melakukan persiapan pramusim di Dubai dan dijadulkan mengharungi aksi persahabatan kedua menentang kelab Latvia, Riga FC pada 29 Januari ini.
Selain Liga Malaysia, JDT juga bakal menjadi wakil tunggal negara pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila diundi dalam Kumpulan I bersama Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC.