PETALING JAYA – Ebit Lew sekali lagi menjadi perhatian orang ramai kerana membantu seorang warga emas, Rohana Mahfuz, 76, membina rumah baru setelah rumahnya hanyut akibat musibah banjir di Hulu Langat bulan lalu.
Menerusi perkongsian di laman Facebook milik Ebit Lew, dia memaklumkan telah berjumpa sendiri dengan wanita tersebut dan akan membina semula sebuah rumah untuknya.
Lebih mengharukan, Ebit dilihat turut tersentuh sehingga mengalirkan air mata melihat ujian yang menimpa warga emas tersebut.
“Menangis je dari mula jumpa tadi. Dah sebulan nenek tak tahu macam mana nak bina rumah.
“Dari mula hanya meluah rasa dan ujian hidupnya. Satu sahaja saya minta dengan ustaz doakan nenek disayangi Allah dan masuk syurga,” tulisnya dalam satu hantaran hari ini.
Tambah Ebit Lew, beliau telah menghubungi kontraktor dan dalam proses untuk menyiapkan reka bentuk plan rumah untuk menyiapkan sebuah rumah buat wanita itu.
“Kami terus tengok plan rumah dan hubungi kontraktor. Insya-Allah akan bina rumah baru untuk nenek.
“Nenek tiada suami dan anak-anak. Syukur adik-beradik dan jiran tetangga ramai membantu serta masyarakat ramai membantu. Doakan ya rumah nenek dapat kami siapkan mengikut pelan asal,” katanya. – K!ONLINE