BARANGKALI ramai dalam kalangan peminat berasakan trailer filem Scream yang baharu tidak begitu membakar jiwa untuk ke panggung wayang. Terdetik dalam hati, adakah penamat sekuel kelima francais popular berkenaan sebuah karya klise dan hanya menjanjikan kekecewaan buat penonton.
Namun, secara peribadi, penulis agak terpana menyaksikan sekuel yang buat pertama kalinya tidak diarahkan sutradara Wes Craven. Mendiang sememangnya sinonim dengan francais Scream.
Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett mengambil posisi bangku pengarah legasi yang ditinggalkan Craven dan hasilnya, tidak langsung mengecewakan. Sejujurnya, Scream kali ini merupakan sekuel terbaik yang pernah dihasilkan.
Jangkaan meleset, kimia bagus
Tak sampai seminit tontonan, dapat merasakan yang sebenarnya jangkaan awal penulis ternyata jauh meleset.
Jelas bahawa pengarah duo berkenanan berjaya mengekalkan atmosfera atau resipi filem original, sekali gus membuatkan plot penceritaan teradun sempurna.
Sedikit tentang perihal teknikal, skor muzik atau lagu tema dan latar masa 1990-an diperkemaskan, gaya moden horror naskhah berkenaan sangat mengena dan menjadi.
Dari segi terjemahan karakter, kombinasi pelakon baharu dan pelakon lama dilunaskan dengan cukup cemerlang dan saksama.
Dua ‘kumpulan’ pelakon itu tahu peranan masing-masing dan mereka berkolaborasi dengan baik untuk memberikan cetusan kimia yang jarang-jarang mampu disempurnakan dalam filem bernuansa nostalgia.
Scream kali ini memberi justifikasi yang baik tentang kerjasama antara dua generasi pelakon dan itu satu nilai tambah.
Tanpa disangkal, aspek kegemaran penulis secara peribadi adalah segmen pembunuhan yang dilakukan karakter Ghostface.
Setiap babak yang melibatkan Ghostface mempunyai amaun ‘darah’ dan keganasan secukup dan seadilnya. Cukup untuk membuatkan peminat filem horror berteriak dengan adrenalin keterujaan.
Terdapat satu adegan pembunuhan pada perjalanan penghujung cerita yang membuatkan penulis melonjak kegirangan dalam hati.
Mengapa? Buat yang belum menonton, perlu berkunjung sendiri ke panggung wayang untuk menemukan jawapannya.
Dalam pada itu, Scream turut memberi tribut kepada si genius, Craven yang mencipta francais berkenaan pada 1996 dengan gaya tersendiri dan berbekas di hati penggemar naskhah seram global.
Legasi tinggalan Craven ternyata tidak sia-sia apabila disambung oleh tangan orang yang tepat.
Sebenarnya, ada kelompok peminat yang berasakan Scream kali ini kurang menjanjikan ‘jeritan’ dan degupan jantung seperti sekuel terdahulu.
Secara peribadi, filem horror sebenarnya berdefinisi lebih daripada itu. Ini filem nostalgia yang ibarat kertas peta bertemu siapa sebenarnya Ghostface. Amaun fokus yang sebetulnya perlu diberikan semasa dan selepas selesai 114 minit durasi tontonan.
Lakonan Melissa Barrera sebagai Sam Carpenter sangat meyakinkan dan membuatkan penonton tidak senang duduk. Begitu juga dengan barisan pelakon lain, termasuk pelakon original Scream, Neve Campbell yang kembali memainkan peranan sebagai Sidney Prescott.
Banyak lagi karakter yang mempunyai impak tersendiri di jiwa. Kena tonton sendiri siapa survive di bandar Woodsboro.
Buat penonton yang sudah ‘cukup umur’, Scream yang diklasifikasikan sebagai R (Restricted) semestinya antara naskhah wajib ditonton tahun ini.