PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (SHMTBC) 2022 berkuat kuasa bermula 29 Januari sehingga 4 Februari depan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tarikh tersebut merupakan tiga hari sebelum, semasa dan tiga hari selepas perayaan.
“Sebanyak enam jenis barangan harga terkawal akan dikuatkuasakan melibatkan barang keperluan harian dari kategori hasil laut, barangan kering dan daging babi.
“Jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dan SHMTBC 2022 adalah sebanyak 18 jenis barangan daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering dan daging babi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Alexander memaklumkan, senarai barangan harga terkawal bagi SHMTBC 2022 adalah ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor) dan udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram).
Selain itu, katanya, adalah bawang putih (China), babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak). – K! ONLINE