KUALA LUMPUR – Jenama automotif nombor satu negara, Perodua menetapkan sasaran tinggi untuk mendaftarkan sebanyak 247,800 unit kenderaan tahun ini, dengan jangkaan keseluruhan jumlah industri (TIV) pada 610,000 unit.
Sekiranya tercapai, ia bakal meningkatkan penguasaan pasaran Perodua kepada 40.6 peratus, berbanding 37.4 peratus pada 2021.
Presidennya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya percaya, TIV tahun ini adalah lebih baik berbanding unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pada sekitar 600,000 unit, dengan jaminan kerajaan bahawa tiada Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan tahun ini susulan kejayaan langkah pembendungan Covid-19.
Beliau turut optimis industri automotif tempatan mampu pulih lebih cepat pasca pandemik, dengan permintaan terhadap kenderaan kekal kukuh.
“Tahun ini kami menjangka mengeluarkan 265,900 unit kenderaan, 37.5 peratus lebih tinggi berbanding 193,400 kenderaan yang dihasilkan tahun lalu.
“Pertumbuhan ini akan turut membawa kepada peningkatan pembelian alat ganti automotif daripada sumber tempatan kepada RM7.5 bilion, 41.5 peratus lebih tinggi berbanding RM5.3 bilion tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Mengulas prestasi tahun lalu, Zainal Abidin menjelaskan, Perodua telah menempuh tempoh yang mencabar dengan jualan 190,291 unit, 13.8 peratus lebih rendah berbanding 220,163 kenderaan yang didaftarkan pada 2020.
Tambahnya, model Myvi terus menerajui jualan pada 47,525 unit, diikuti Axia (43,080), Bezza (42,698), Ativa (26,847), Aruz (15,313) dan Alza (14,828).
“Sejak tempahan untuk Myvi baharu dibuka pada 9 November lalu, ia telah merekodkan sambutan memberangsangkan dengan jumlah tempahan sebanyak 31,154 unit setakat ini,” ujarnya.