SEREMBAN – Tindakan seorang pengarah syarikat menggunakan logo halal luar negara yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di dua buah restoran di Nilai memakan diri apabila didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd. Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas A.Nadaraja, 59, yang juga Pengarah Syarikat Seribu Rasa Sdn. Bhd. mengaku bersalah ke atas dua pertuduhan terhadapnya.
Mahkamah turut menetapkan Orang Kena Siasat (OKS) itu dipenjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Nadaraja didakwa telah memperakukan makanan yang diberikan dalam Restoran Giger Noi Thai Kitchen sebagai halal dengan cara yang bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Kesalahan itu dilakukan di Restoran Giger Noi Thai Kitchen, Mesamall, Persiaran Ilmu, Bandar Baru Nilai pada pukul 4.50 petang, 20 Oktober 2020.
Bagi pertuduhan kedua, Nadaraja telah melakukan kesalahan sama di Harum Manis, Mesamall, Persiaran Ilmu, Bandar Baru Nilai pada pukul 5.20 petang 20 Oktober 2020.
Sehubungan itu, OKS didakwa di bawah Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (a) (A) perintah yang sama.
Jika sabit kesalahan, orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.-K! ONLINE