JASIN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memperkenalkan Pasar Subuh di 50 masjid di seluruh negeri ini, bulan depan.
Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazale Muhammad berkata, usaha tersebut merupakan projek perintis yang dilaksanakan negeri ini bagi membantu mempromosikan produk para petani.
Katanya, inisiatif itu juga secara tidak langsung dapat meningkatkan peranan masjid dalam negara sebagai platform penjana ekonomi rakyat.
“Cadangan Pasar Subuh ini sebenarnya telah diketengahkan oleh kerajaan negeri Melaka pada Disember lalu untuk membantu mempromosikan hasil tanaman petani.
“FAMA menyambut baik inisiatif Pasar Subuh ini dan cadangan itu akan direalisasikan pada bulan depan membabitkan 50 buah masjid seluruh negeri,” katanya pada sidang akhbar program Jualan Pasar Tani Khas sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Pasar Tani Rim Jasin di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pasar Subuh itu akan dibuka seawal pukul 6.30 pagi dan menawarkan pelbagai hasil tanaman para petani.-K! ONLINE